Ahad, 4 Januari 2009

Sejarah Silat PSSGSBM

Tajuk

Persatuan Seni Silat Gayong Singa Berantai telah ditubuhkan pada tahun 1968 di negeri Kedah Darul Aman. Pengasas pertubuhan ini adalah bapak guru Haji Hassan bin Haji Salleh bpg, pck, pjk. Sebelum ini bapak guru pernah menyertai pertandingan di bawah anjuran Seni Silat Melayu Negeri Kedah Semalaysia. Dalam pertandingan tersebut beliau telah diberikan nama gelaran sebagai Hassan Singa Berantai oleh bapa saudara Sultan Kedah .Dalam usia muda beliau pernah menuntut berbagai-bagai ilmu persilatan. Antaranya ialah


  1. Seni Silat Gayong Pusaka Malaysia

  2. Seni Silat Sendeng

  3. Seni Silat Bambu Kuning

  4. Tomoi

  5. Seni Silat Kuntau Jawa

  6. Seni Silat Mat Jerat

  7. Seni Silat Selendang Merah


Hasil daripada pengalaman beliau dalam ketujuh-tujuh persilatan ini kemudian dicantum menjadi satu perguruan iaitu Persatuan Seni Silat Gayong Singa Berantai. Secara rasminya pada tahun 1983, persatuan ini telah didaftarkan di bawah seksyen 7 dalam Akta Pertubuhan 1966 dengan nombor pendaftarannya ialah 241/84 yang berpusat (ibu gelanggang) Kampung Perupok, Yan Kedah. Pada tahun 2005, Persatuan Seni Silat Gayung Singa Berantai Ini, sekali lagi telah didaftarkan dibawah Majlis Sukan Negara di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 dengan nombor pendaftaran ialah 1443/2005.


Bapak guru juga telah menorak langkah membuka gelanggangnya di merata tempat bukan sahaja di negeri Kedah malah di negeri lain seperti Pulau Pinang, Kelantan,Negeri Sembilan.Johor,Pahang dan Perak.



Mengenal Gayung

Nama Gayung

Perkataan silat itu pada umumnya bolehlah difahamkan sebagai suatu teknik pembawaan bunga-bunga tarian pelajaran GAYONG, dan pelajaran GAYONG itu pula dimaksudkan kepada buahnya yang sebenar, yang mengandungi hikmat-hikmat yang menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang mengelirukan, yang terkandung di dalam kandungan gerak semula jadi, iaitu pergerakan pantas secara automatik. GAYONG yang mengandungi pelajaran sepak-menyepak, tumbuk-menumbuk, tikam-menikam, tangkap-menangkap, hempas-menghempas, buang-membuang, sekat-menyekat, elak-mengelak, hadang-menghadang, tangkis-menangkis




dan seumpamanya lagi itu adalah menjadi pakaian keperwiraan kepada setiap lelaki dan wanita. Pelajaran ini amatlah berguna dalam masa kecemasan bagi mempertahankan diri sebagai perisai untuk mengelakkan serangan musuh atau lawan.


Dalam suatu pertarungan yang menggunakan sepenuh tenaga kekuatan, kepantasan, kecekapan, keazaman, dan kepintaran masing-masing untuk mengalahkan lawannya, sama ada dengan menggunakan senjata ataupun tanpa menggunakan senjata, maka di dalam pertarungan yang seumpama itu biasanya dinamakan GAYUNG. Tetapi pelajaran SILAT yang dimaksudkan kepada bunga-bunga tarian bagi pelajaran GAYUNG itu adalah lebih merupakan pertunjukan atau persembahan yang tertentu, umpamanya untuk menyerikan sesuatu majlis keramaian, atau kerana sesuatu upacara istiadat di dalam kebudayaan Melayu.


Maka di dalam pertunjukan yang seumpama itu, tidaklah persembahan itu lebih merupakan suatu pertarungan yang sungguh-sungguh berlaku di situ, malah hanya persembahan itu lebih merupakan sebagai satu daripada ciri perlawanan yang dipersembahkan secara imbasan pertarungan yang dipenuhi dengan keindahan dan kesenian bunga-bunga tarian dalam pelajaran gayung yang disampaikan dengan penuh ketenangan jiwa, sabar, bertatatertib, tidak melanggar kesopanan dan kesusilaan dan tertakluk pula kepada taraf majlis di mana persembahan itu diadakan. Persembahan seumpama itu dinamakan BERSILAT.

Erti GAYONG

Ga - Genggam

Berpegang kepada janji setia dan ikrar yang telah dilafazkan. Juga bermaksud menjaga segala rahsia dan amanat yang diberikan.

Alif - Angkat

Meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan.

Ya - Yakin

Yakin kepada kebolehan diri sendiri serta ilmu dipelajari

Wau - Waras

Membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bertindak.

Nga - Ngeri

Bersungguh-sungguh dalam segala perbuatan. Dalam konteks latihan, kesungguhan ini digambarkan dalam kengerian orang lain yang menyaksikann

Sejarah Silat PSSGSBM